Tarikh: 18 Julai 2013 - 2:48pm
Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli dan mengguna produk kosmetik berikut:
Bil. |
Nama Produk |
Nombor Notifikasi |
Racun Berjadual Yang Dikesan |
Nama Pemegang Notifikasi |
Nama Pengilang |
1. |
Aveana Night Revival Cream |
NOT110404581K |
Tretinoin |
Owi Lab (M) Sdn. Bhd.
|
Owi Lab (M) Sdn. Bhd.
|
2. |
Blemished Skin Ampoules |
NOT110204305K |
Asid Azelaik |
Noble Aspect Sdn. Bhd. |
Noble Aspect Sdn. Bhd. |
3. |
Golden Horse B&W Cream – GH902-1 |
NOT120905460K |
Merkuri |
Chee Sing (Labuan) Sdn. Bhd.
|
Chin San Chemical Works, Taiwan
|
Produk-produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi
racun berjadual tretinoin, asid azelaik dan merkuri. Oleh itu,
produk-produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Tretinoin, asid azelaik dan merkuri adalah tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya
digunakan untuk tujuan merawat masalah jerawat atau memperbaiki keadaan
kulit. Produk yang mengandungi tretinoin hanya boleh digunakan dengan
nasihat profesional kesihatan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan
boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak
selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Produk yang mengandungi asid azelaik biasanya digunakan untuk tujuan
merawat masalah jerawat dan rosacea iaitu keadaan kronik di mana muka
menjadi merah di kawasan dahi, hidung dan pipi. Produk yang mengandungi
asid azelaik hanya boleh digunakan dengan nasihat preofesional
kesihatan. Penggunaan asid azelaik tanpa pengawasan boleh menyebabkan
bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, pedih dan
kemerahan.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri lazimnya
dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan
seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan adalah tidak
dibenarkan dan boleh memudaratkan kesihatan. Merkuri yang terkandung
dalam produk kosmetik boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan
sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak
yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, kesan mudarat
akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang
sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang
mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan
kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh
produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan
produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke
dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga
menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk
berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan/pembekalan
dengan serta merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk
tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
Sesiapa yang mempunyai stok produk di atas dinasihatkan menghentikan
penjualan/pengedaran/ penggunaan produk tersebut dengan serta-merta.
Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar
Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang
melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan ini boleh dikenakan
hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3
tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi
RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk
kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh
dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda
sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna adalah dinasihatkan untuk menghubungi pihak Biro Pengawalan
Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-7883 5532/5534 jika
mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat daripada
penggunaan produk-produk kosmetik.
DATO’ EISAH BINTA A.RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia
03 Julai 2013