Friday 8 November 2013

Pengguna Dinasihatkan Untuk Mengelakkan Dari Mengguna Produk Kosmetik yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

Tarikh: 18 Julai 2013 - 2:48pm
Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli dan mengguna produk kosmetik berikut:
Bil. Nama Produk Nombor Notifikasi Racun Berjadual Yang Dikesan Nama Pemegang Notifikasi Nama Pengilang
1. Aveana Night Revival Cream NOT110404581K Tretinoin
Owi Lab (M) Sdn. Bhd.
Owi Lab (M) Sdn. Bhd.
2. Blemished Skin Ampoules NOT110204305K Asid Azelaik Noble Aspect Sdn. Bhd. Noble Aspect Sdn. Bhd.
3. Golden Horse B&W Cream – GH902-1 NOT120905460K Merkuri
Chee Sing (Labuan) Sdn. Bhd.
Chin San Chemical Works, Taiwan

Produk-produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi racun berjadual tretinoin, asid azelaik dan merkuri. Oleh itu, produk-produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Tretinoin, asid azelaik dan merkuri adalah tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya digunakan untuk tujuan merawat masalah jerawat atau memperbaiki keadaan kulit. Produk yang mengandungi tretinoin hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Produk yang mengandungi asid azelaik biasanya digunakan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan rosacea iaitu keadaan kronik di mana muka menjadi merah di kawasan dahi, hidung dan pipi. Produk yang mengandungi asid azelaik hanya boleh digunakan dengan nasihat preofesional kesihatan. Penggunaan asid azelaik tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, pedih dan kemerahan.
Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan adalah tidak dibenarkan dan boleh memudaratkan kesihatan. Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
Sesiapa yang mempunyai stok produk di atas dinasihatkan menghentikan penjualan/pengedaran/ penggunaan produk tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna adalah dinasihatkan untuk menghubungi pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-7883 5532/5534 jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat daripada penggunaan produk-produk kosmetik.
DATO’ EISAH BINTA A.RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia
03 Julai 2013

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...